Monday, 2 April 2012

Mancini berang dengan Balotelli


Roberto Mancini sekali lagi terpaksa menjawab soalan mengenai sikap penyerang Mario Balotelli ketika Manchester City mensia-siakan peluang mengejar kejuaraan apabila terpaksa bangkit untuk seri 3-3 dengan Sunderland.

Ia kali pertama ada pasukan meraih satu mata di Eastlands dalam tempoh 14 bulan menyebabkan skuad kendalian Mancini ketinggalan dua mata di belakang Manchester United yang akan beraksi menentang Blackburn, awal pagi esok.

Balotelli menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti dan gol kedua pada minit ke-85 sebelum Aleksandar Kolarov memastikan satu mata dengan menghasilkan gol penyamaan empat minit sebelum tamat.

Namun Balotteli mencuri tumpuan bukan hanya gol yang dihasilkannya sebaliknya perbalahan dengan pegawai, pemain lawan serta rakan sepasukan, Kolarov ketika mereka berebut mengambil sepakan percuma.

Dengan City kini hanya mencatat satu kemenangan dalam empat perlawanan liga serta mula menampakkan tanda-tanda tertekan dalam perebutan kejuaraan bersama United, perkara terakhir yang diperlukan Mancini adalah gangguan menerusi sikap Balotelli.

“Saya hanya mempunyai Carlos Tevez di bangku pemain simpanan namun saya sudah terfikir untuk mengeluarkan Balotelli selepas empat minit permainan bermula,” kata Mancini.


“Dia tidak beraksi dengan baik. Dalam perlawanan seperti ini, penyerang anda perlu melakukan sesuatu yang luar biasa, bukan hanya bermain untuk dua atau tiga minit berbeza namun dia berjaya juga menjaringkan dua gol.

“Dia dan Edin Dzeko sepatutnya menyumbat dua atau tiga gol dalam perlawanan seperti ini.

“Mereka tahu sepakan percuma akan diambil Aleksandar dan Mario, hanya dua pemain itu akan menentukan siapa yang akan mengambil sepakan percuma. Insiden ini boleh berlaku dalam situasi sebegini namun perkara seperti ini tidak harus berlaku lagi.” - AFP
Share on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright BelogSoccer | Berita Terkini Dunia Bola Sepak 2012 | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates and Theme4all