Alex Ferguson yakin kematangan Wayne Rooney akan menjadi kunci kejayaan Manchester United apabila juara bertahan itu turun dengan misi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris menentang Blackburn, awal pagi esok.
Perebutan kejuaraan dengan Manchester City kini tampak memberi kelebihan kepada United selepas musuh setempat itu sekadar seri 3-3 dengan Sunderland di Eastlands, kelmarin.
United memiliki kelebihan dua mata di tangga teratas dan boleh melebarkan jurang kepada lima mata jika menang di Ewood Park.
Pertemuan dengan pasukan sedang bergelut Rovers pada sambutan Tahun Baru sebelum ini menyaksikan Blackburn merekod kemenangan mengejut 3-2 ke atas United ketika Rooney tidak beraksi kerana digantung atas kesalahan melanggar peraturan kelab ketika bercuti.
Namun apa saja perbalahan antara penyerang England dengan Ferguson ketika itu, prestasinya pada 2012 boleh dianggap memberangsangkan dengan menjaringkan 17 gol sekali gus mengangkat dirinya sebagai tonggak utama kejayaan jika Reds berjaya mengekalkan kejuaraan.
“Dia beraksi dengan baik. Dia menjaringkan 17 gol dalam 17 perlawanan dan saya berharap dia boleh mengumpul 40 gol,” kata Ferguson yang mengulas mengenai prestasi Rooney yang menjaringkan 29 gol dalam semua kejohanan musim ini.
“Masih ada baki lapan perlawanan, purata satu gol satu perlawanan, pasti anda akan mengambil kira statistik itu. Dia juga mungkin boleh menjaringkan dua gol.
“Dia mungkin boleh menewaskan Robin van Persie dari Arsenal bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan namun ia hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya dia terus menjaringkan gol sehingga tamat musim ini.
“Anda selalu berbicara mengenai kematangan pemain apabila mereka mencapai usia pertengahan 20-an. Prestasinya semakin meningkat dari segi kebolehan, penguasaan dan ketepatan.
“Pengalaman banyak membantu. Semua orang akan matang. Kita semua berbeza ketika usia pertengahan 20-an berbanding zaman remaja.” - AFP

0 comments:
Post a Comment